Friday, July 10, 2009

PPSMI: Antara Gembira dengan Curiga

Terima kasih Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengisytiharkan PPSMI dimansuhkan. Tetapi kenapa 2012? Tiga tahun macam-macam boleh berlaku, dan rasional kenapa menunggu hingga 2012 tidak pula diumumkan. Mungkin kerana penulisan semula buku teks dalam BM mengambil masa, tetapi pengajaran bukan 100% menggunakan buku teks. Mungkin juga sebab untuk membetulkan minda guru-guru dan pentadbir KPM untuk kembali berbahasa Melayu dalam pengajaran Matematik dan Sains itu? Atau entah apa sebab lain.
Walaupun begitu, keputusan itu sudah cukup baik berbanding sebelum ini yang hanya diam bertangguh dan tidak memberikan apa-apa keputusan. Nampaknya Tan Sri Muhyiddin lebih berani dan bijak membuat keputusan berbanding Datuk Seri Hishamudin yang berbolak-balik tentang PPSMI.
Sesungguhnya kerajaan untung banyak apabila PPSMI ini dimansuhkan kerana kerajaan melalui KPM tidak perlu mengeluarkan banyak wang memberikan laptop dan peralatan tayangan kepada sekolah-sekolah yang nilainya tidak munasabah. Bayangkan sebuah laptop berharga RM6,000 dan LCD juga sedemikian. Padahal jika guru-guru ini membeli laptop sendiri (pada masa ini) hanya bereharga bawah RM2,000. Pembaziran pembayaran kerajaan berlaku melalui agen-agen yang merupakan syarikat yang mendapat tender kerajaan yang mengambil untung berganda-ganda ini.
Selain itu, kerajaan juga dapat menjimatkan pengaliran wang apabila elaun khas yang diberikan kepada guru Matematik dan Sains ini (10% daripada gaji bagi guru sekolah rendah dan 5% daripada gaji bagi guru sekolah menengah) dihentikan. Sebenarnya ini adalah polisi pelik KPM yang memberi elaun lebih kepada guru dua subjek ini padahal tugas dan peranan sama dengan guru-guru subjek lain. Hendak dikatakan mahir berbahasa Inggeris, belum tentu, dan ada dalam kalangan guru Bahasa Melayu dan guru Pendidikan Jasmani pun mahir bahasa Inggeris tetapi tidak diberi elaun khas.
Memang sedikit lega dengan berita pemansuhan PPSMI tetapi itu bukan bermakna kita hanya perlu diam. Usaha untuk menguatkan bahasa Inggeris patut dipuji tetapi janganlah menggugat kepentingan bahasa Melayu pula. Walaupun PPSMI tidak dijalankan tetapi jangan kerah pelajar-pelajar ini menguasai BI dengan cara yang lain pula. Sebarang keputusan perlu dilihat dari pelbagai sudut. Untuk bertanya kepada tokoh, tanyalah pelbagai golongan termasuk tokoh pendidikan dan tokoh bahasa. Pendapat tokoh politik yang hanya bersandar logik bukan berdasarkan pandangan ilmu tidak perlulah dihiraukan sangat. Negarawan seperti Tun Dr Mahathir seeloknya banyak berehat sahaja menempuhi hari-hari senjanya.

Tuesday, July 07, 2009

Penulis yang Berjalan dan Perjalanan Penulis

Sebagai penghasil karya kreatif, seseorang penulis itu mesti berjalan. Berjalan dengan akal. Berjalan dengan mata, dengan hati dan naluri. Sesebuah karya memerlukan perancangan bermula dengan cetusan idea yang kemudiannya dibentuk dalam draf atau contengan atau sekadar catatan. Peringkat yang seterusnya adalah menyusun idea sebelum memulakan taipan. Namun ada ketikanya hanya tinggal idea dan tidak sempat atau sukar sekali untuk disempurnakan.

Ada baiknya berjalan. Apabila berjalan macam-macam yang kita lihat. Konsep ‘berjalan’ tidak semestinya melangkah dengan kaki tetapi ‘berjalan’ adalah bergerak ke satu-satu tempat dengan berkereta, bermotosikal atau berbasikal. Tempat yang ditujui ada ketikanya pasti dan ada ketika entah ke mana pada mulanya, tetapi dalam perjalanan tahu dan terdorong ke mana tujunya. Begitu juga dengan kreativiti dalam penghasilan karya. Tulislah, dalam pengertian di sini, mulalah berjalan dan setelah berjalan tahulah mana tempat yang ingin diberhenti atau ditujui.

Sesebuah karya ada ketika cukup mengganggu untuk disiapkan, dan ada sesetengahnya terbiar begitu sahaja berminggu-minggu, berbulan-bulan, bertahun-tahun yang kemudiannya tidak tahu apakah nasibnya kemudian sama ada disentuh lagi atau lenyap begitu sahaja. Gangguan dalam pengkaryaan selalunya berkaitan dengan penyusunan cerita terutama sesebuah novel yang panjang. Namun begitu, banyak sekali buku-buku panduan yang boleh diambil untuk rujukan dan pemecah kebuntuan.

Antara buku yang mesra untuk digulati ialah Writing Fiction: A Guide to Narrative Craft oleh Janet Burroway (2003). Kandungan buku ini mudah untuk ditelusuri. Bermula dengan pengenalan tentang ‘perjalanan pengkaryaan’ pada peringkat garis mula dan mengenal pasti tema yang dipilih. Seterusnya buku ini melihat bagaimana cerita disusun dalam bentuk figura yang disebut ‘story form’. Kemudian plot dan struktur cerita disusun. Menariknya buku ini, pada setiap bab disertakan contoh hasil karya-karya yang baik seperti karya Ernest Hemingway, Anne Lamott, Marquez, Grace Palley dan banyak lagi.

Dalam sesebuah karya fiksyen, ada beberapa unsur yang penting tetapi ada ketikanya terabai dalam karya seperti perwatakan, adakah mahu diperikan sebagai paparan (showing) ataupun beritahu (telling). Begitu juga dengan sudut pandang (POV).

Menulis adalah proses berjalan, yang membahagiakan namun terasa juga lenguh dan bosan. Keindahan dan keseronokan tetap ada malahan ada ketikanya dapat menebat luka dan memecah kebosanan. Ditambah dengan urusan-urusan rutin yang menyebabkan perjalanan perlu singgah dan berhenti. Dan kemudain menyambung kembali. Boleh agaknya diibaratkan seperti burung pagi yang keluar mencari makan, petangnya terbang melihat alam dan malamnya tidur di sarang. Esoknya kembali demikian.

Empayar?

Terima kasih Mingguan Malaysia yang menyiarkan cerpen saya, "Manuskrip Empayar di dalam Laci" pada Ahad lalu. Terima kasih atas pandangan kawan-kawan tentang cerpen ini melalui sms kepada saya.
Cerpen ini sepenuhnya telah dimuatnaik di sini

Thursday, June 25, 2009

Menulis ibarat Sebuah Kembara

Menulis/mengarang, ibarat mengembara. Terutama menulis karya kreatif. Zaman dahulu pengarang tidak disebut penulis tetapi sebagai pencerita. Terdapat beberapa istilah yang dapat dikutip berkaitan dengan pengarang atau penulis ini daripada istilah klasik ke istilah moden.
- Yang empunya cerita
- Sahibul hikayat
- Rawi
- Dalang
- Pendeta
- Datuk pengarang
- Pengarang
- Penyurat
- Pujangga
- Tukang cerita
- Pencerita
- Tukang kaba
- Tukang syair
- Tuk selampit
- Penglipur lara
- Penulis
- Narrator
- Pencereka
- Cerpenis
- Novelis
- Sasterawan

Kerja menulis, mengarang, menghasilkan karya kreatif ini merupakan kerja yang aneh, dan menuntut perhatian dan tumpuan yang tinggi serta disiplin yang teguh. Menggulati bidang penulisan ibarat seorang pengembara yang melewati satu demi satu tanah, padang, ranjau, lautan, gunung, gaung dan disambar dengan petir, didebarkan dengan guruh, diusik dengan harum bunga dan dimuntahkan dengan busuk tahi, menyinggahi sawah padi, tanah berlalang, sungai yang jernih, dan taman yang penuh bunga-bunga dan pastinya juga telah dan akan melewati kawasan pembuangan sampah yang busuk, gua yang gelap gelita, longkang yang hanyir dan rumah-rumah yang berhantu. Manusia-manusia yang ditemui sepanjang kembara pula berbagai-bagai, ada yang mengaku bersahabat tetapi menghulurkan tombak di belakang, ada yang tersenyum diam tetapi busuknya hati seperti bangkai ayam, ada yang berhati ikhlas bersih mewangi seperti limau kasturi, ada yang ikhlas tetapi tidak mahu diingat namanya dan ada yang bertemu sekali tetapi sangat berkesan rasanya. Semua ini dilalui dan menjadi pengaruh untuk karya-karya dan pengajaran untuk berhati-hati dalam berkembara. Akhirnya kembara ini pastilah menuju ke sebuah negeri abadi yang ghaib dan tidak tercapai akal manusia yang cetek ini untuk membayangkannya.
(Dengarkan lagu Perjalanan Hidup, Ramli Sarip.)

Apa tujuan menulis? Kita berbicara seketika dalam konteks ini apa tujuan mengembara dalam lautan kreativiti (lautan cereka- istilah Maarof Mahmud).
Yang jelas dan utama sebagai tujuan menulis adalah untuk menyatakan pemikiran bernas dan kemudian berniat untuk menyebarkan. Dalam kepengarangan juga dapat menyampaikan ilmunya walaupun sedikit. Pengarang terdahulu ikhlas menyampaikan pemikiran baik secara terus terang ataupun berselindung di sebalik cerita dan kata. Terdapat pengarang yang luas pengetahuan dan menulis dalam berbagai-bagai bidang seperti Raja Ali Haji yang menulis tentang bahasa, sejarah, ketatanegaraan, usuluddin, fikah dan tasawuf. Dalam kembara kreatif, Raja Ali Haji menulis puisi.
(Dengarkan lagu Bahasa Terindah, nyanyian Ramli Sarip)

Tujuan menulis yang lain, untuk beroleh pendapatan. Pada hari ini tidak dinafikan menulis dapat menjanjikan pulangan yang lumayan. Sudah ramai yang memilih penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa. Memang ada cabarannya, namun ada yang telah membuktikan berjaya. Bagi yang bekerja, kerja menulis adalah kerja sambilan yang hanya dapat dikerjakan (hanya dapat mengembara dalam dunia kreativiti) pada waktu-waktu tertentu dan sangat sedikit ruang yang ada.
Kembara kreativiti kadang-kadang menemui padang lapang, sesekali terlihat rimba beranjau, malah kerap menemui ombak ganas yang mesti ditempuh, dan pernah juga terserempak dengan gaung yang menggayatkan.
(Dengarkan Lagu Zaman, nanyian Ramli Sarip, SM Salim, Jamal Abdillah)

Tujuan yang lain, untuk menyampaikan sesuatu kepada khalayak. ‘Sesuatu’ inilah yang universal. Ada penulis yang ingin menyampaikan mesej dan nilai melalui karyanya, ada yang ingin menyampaikan pesanan dan nasihat secara terselindung, ada yang ingin menyampaikan dakwah, ada yang sekadar bercerita, dan ada yang bertujuan untuk menghibur di samping ada juga yang hanya ingin menunjuk pandai . Semua ini merujuk kepada tema dan persoalan yang dipilih, cara pengolahan, bahasa yang digunakan dan juga medium yang menerbitkannya.

Tujuan menulis hanya untuk suka-suka. Jika tidak suka kita tidak buat kerana kerja ini boleh dikategorikan sebagai kerja gila. Ada yang tidak setuju. Sudah tentu. Suka-suka yang dimaksudkan di sini, adalah kebebasan untuk melakukan dengan rela, sepenuh hati atau wewenang (istilah Jawa) yang dirujuk sebagai hak dan kekuasaan (untuk berbuat sesuatu). Seseorang itu boleh jadi apa sahaja dengan bakat yang ada padanya seperti penulis, pemuzik, penggubah lagu, ataupun pelukis. Suka-suka juga dapat dikumpulkan dalam pengertian melakukan sesuatu dengan minat dan seharusnya tidak dipaksa. Ada sesiapa penulis di luar sana yang rasa terpaksa untuk menulis? Atau rasa tertekan apabila mengambil teori kemudian takut untuk diaplikasi dalam karya sendiri? Siapa suruh ambil teori? Menulis adalah kerja suka-suka.
(Dengarkan lagu Bukan Kerana Nama, Ramli Sarip dan A.Romzie)

Ada lagi tujuan yang lain. Tujuan untuk menjadi terkenal, tujuan untuk mendapat pengiktirafan, tujuan untuk menghibur, tujuan untuk menyemarakkan industri penerbitan dan beberapa lagi. Setiap penulis mempunyai tujuan yang tertentu. Namun ada juga yang tidak sengaja menjadi penulis. Ada yang ingin sangat menjadi penulis namun tidak berasa berjaya walaupun dia telah memulakannya. Ada yang sudah pun bergelar penulis tetapi mendiamkan diri tanpa menulis lagi. Ada penulis yang tidak berhenti-henti penulis tetapi tidak dikenali. Ada penulis yang bersembunyi dan menulis sesekali. Ada penulis yang tidak tahu apa tujuannya melibatkan diri dalam kembara kreativiti ini. Ada yang mempunyai lebih dari satu tujuan yang disebutkan di atas. Apapun, teruskan menulis. Terus berkembara dalam dunia kreativiti yang infiniti ini.
Kembara penulisan tidak pernah selesai. Memetik kata-kata Muhammad Haji Salleh (dalam Puitika Melayu), “pengarang tidak mungkin hapus daripada karyanya, malah dia masih terus secara langsung memberi rupa, bentuk dan maknanya, dan juga menentukan sempadan sebenar teksnya. Dialah yang memberikan peribadi bakatnya kepada teks itu dan gagasan serta watak kepada cerita yang dipersembahkan. Oleh itu pengarang tetap hadir secara amat dasar selagi teks itu masih wujud dan masih dibaca.”
(Dengarkan lagu Doa Buat Kekasih, nyanyian Ramli Sarip dan Kathijah Ibrahim)

Saturday, June 20, 2009

Mejaku Bersepah


Mejaku bersepah
antara buku dan manuskrip belum selesai
duduk pejabat tidak sudah juga
duduk rumah asyik terasa mahu tidur saja

Mejaku bersepah
antara mahu dengan tidak
mata payah untuk lelap memikirkan kerja
hidung gatal diganggui selsema

Mejaku bersepah
jangan kemaskan
kerana begitu, aku suka.

p/s: Bukan susah menulis puisi...

Buku Baru


Baru dapat beli buku ini. Tapi belum baca lagi.

Tahniah Pemenang HSU 08

Tahniah diucapkan kepada pemenang-pemenang Hadiah Sastera Utusan 08. Tidak hairan jika kita melihat nama-nama yang hampir sama dengan tahun-tahun terdahulu kerana mereka mempunyai komitmen yang tinggi untuk menulis dan menghantar karya.
Tahniah Kumpulan Utusan yang sehingga kini terus melestarikan sastera Melayu.
p/s: Saya mendapat ucapan tahniah juga... tapi dari dimensi yang lain.

Debat Kepenggunaan

Inilah kunjungan pertama kali ke Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) Malaysia, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Sebuah kawasan baru yang lapang, damai namun masih terlalu banyak pembinaan sedang dijalankan. Terasa sedikit cemburu melihat gahnya bangunan yang berdiri dengan rekaan yang cantik dan pasti juga menjanjikan keselesaan. Berbanding kampus utama UPSI di kawasan Proton City, Behrang yang masih belum siap.
Hari ini tamat 4 pusingan perdebatan. Bertema kepenggunaan (anjuran Fomca, MADUM dan beberapa badan yang lain) pertandingan ini disertai IPTA, IPTS dan IPGM. Terdapat pasukan yang menghantar team elit mereka dan ada juga yang menghantar junior yang kelihatan masih gementar namun tetap berbara. Kali ini dilihat peningkatan peserta dari UPM sambil tidak menafikan dari USM dan UPSI sendiri. Pasukan yang tetap 'maintain' seperti UIAM dan UITM tetap menggugat sambil tidak meremehkan keupayaan UTP dan tuan rumah Malahan dari IPGM seperti dari Pulau Pinang dan Perempuan Melayu Melaka juga wajar diberi perhatian.
Apapun selamat berdebat.
p/s: Saya, sempat juga cuci mata di Batu Pahat Mall dan melayar internet di Oldtown Coffee.
Kebetulan Saifullizan Yahaya juga ada di sini. Kami banyak berbual-bual tentang penulisan dan berbicara tentang penulis muda, genre dan orang-orang yang berada dalam sastera.

Tuesday, June 16, 2009

Pasang dan Surut

Hidup dan nasib ibarat roller-coaster. Aku teringat lirik lagu Apokalips (M.Nasir/Loloq). Aku teringat lagu tradisi, ‘Air pasang dalam surut pukul lima’. Aku teringat banyak perkara tentang pasang surut, pusingan roda, cemerlang dan malang.

Aku terfikir bahawa perjalanan hidup ini sentiasa diuji dan kadang-kadang kita sendiri yang sengaja mahu diuji. Niat atau tujuan tidak pernah difikirkan orang lain. Kadang-kadang juga ada baiknya diam membisu tanpa menyatakan sesuatu. Aku berdoa kepada Allah, agar memberikan aku jalan terbaik dalam menempuh hidup ini.

Aku selalu melihat dari sudut yang amat dekat dengan diri. Refleksi. Jika hari ini aku pasang, mungkin esok aku surut, seperti roda akan berputar dan merasai pusingan di bawah di tengah dan di atas. Begitulah sebaliknya jika hari ini aku surut, mungkin esok akan pasang semula. Dan aku percaya, orang lain pun begitu, melainkan manusia itu lupa diri dan terasa dia yang dapat menahan air laut daripada surut dan menghentikan roda daripada berputar.

Thursday, June 11, 2009

Seminar Pemikiran Arenawati

Sebagai pengagum Arena Wati (Allahyarham SN) saya tidak melepaskan peluang mengikuti Seminar Pemikiran beliau di DBP 9-10 Jun lalu. 30 kertas kerja (termasuk iringan) dihasilkan. Tahniah penganjur (Bahagian Teori DBP) yang terus menerus menganjurkan seminar sebegini.
Arena Wati merupakan antara sasterawan yang diasuh dan diajar oleh alam yang cukup kuat kepekaannya. Arena Wati bukan sahaja diajar oleh gelombang laut namun berada dalam kancah nasionalisme dan sosiopolitik yang juga seperti ombak laut. Analogi pengalaman beliau dapat dilihat melalui novel-novel beliau yang tidak terhafal judulnya yang terlalu banyak.
Secara peribadi, saya tidak begitu rapat dengan Allahyarham. Namun saya telah mengenali beliau lewat karya-karya yang agak 'susah untuk difahami' seperti Sukma Angin, Sandera, dan Panrita. Karya-karya beliau di Pustaka Antara seperti Eno, Burung Besi, Turina dan juga di DBP seperti Begawan, Meurow Toga dan banyak lagi sampai sekarang belum habis saya baca walaupun telah memilikinya bertahun-tahun dahulu. Saya juga pernah 'bergaduh' dengan pemilik kedai buku untuk meminta diskaun buku Kuntum Tulip Biru yang terkoyak kulit belakangnya. Saya tetap membelinya untuk melengkap trilogi itu (bersama-sama Bunga dari Kuburan dan Sakura Mengorak Kelopak).
Manusia seperti Pak Arena sangat istimewa, menarik dan hanya kita temui sekali dalam hidup ini.
Kenangan bersama-sama Allahyarham Pak Arena Wati pada 11 November 2007 ketika satu seminar di DBP.

Monday, June 01, 2009

Pengajian Malaysia dalam Bahasa Inggeris

Saya diberitahu seorang kawan yang mengajar di UNITEM (Universiti Terbuka Malaysia) atau OUM (Open University Malaysia) bahawa subjek yang diajarnya, Pengajian Malaysia telah berubah menjadi Malaysian Studies. Katanya kandungan tidak berubah cuma bahasa telah diubah ke bahasa Inggeris sepenuhnya. Beliau telah mengajar subjek itu sejak tujuh tahun lalu dan amat terkejut apabila semester Mei ini modul pembelajaran dicetak sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Menurut beliau, ada beberapa subjek lain seperti Pendidikan Moral juga telah menjadi Moral Studies.
Kursus ini merupakan kursus wajib untuk pelajar Sarjana Muda dan diploma OUM yang mengambil berbagai-bagai bidang seperti teknikal, kejuruteraan, sains, pengurusan dan sumber manusia.
Kawan saya sempat memberi komen dalam panggilan telefon yang dikelilingi bunyi bising tapak pembinaan dengan mengatakan makin kecillah kepentingan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang di negara kita. Lupakan tentang istilah 'kerajaan' kerana telah bertukar menjadi 'kingdom' dan semua istilah molek-molek dalam sejaran telah diinggeriskan. Kawan saya sempat bergurau, katanya nama Parameswara masih kekal dan tidak dapat diingeriskan.
Saya hanya terdiam kerana sudah letih untuk bercakap.